Skip to main content

Tiada “umur yang tepat” untuk memulakan latihan tandas kerana setiap kanak-kanak adalah berbeza. 

Latihan menggunakan bekas tandas  mungkin sesuai hanya apabila anak kecil anda dapat mengawal otot punggung dan pundi kencing mereka. Otot ini biasanya matang pada umur 18 hingga 36 bulan. Jadi, biasanya pakar mengesyorkan ibu bapa supaya memulakan latihan menggunakan tandas selepas si kecil berusia sekurang-kurangnya dua tahun.

Pilih Masa yang Sesuai

Jika anda meletakkan bekas tandas di dalam bilik air, di sudut yang mudah dilihat dan dicapai oleh si kecil, beberapa bulan sebelum memulakan latihan menggunakan bekas tandas, itu akan memberi anak anda peluang untuk membiasakan diri duduk di atasnya dan menggunakannya sekali-sekala. Jika anda dapati anak kecil anda sudah dapat mengawal otot-otot yang berkenaan, itu menandakan si kecil sudah bersedia untuk menggunakan bekas tandas. Selain itu, tanda-tanda lain termasuk:

    • Keupayaannya untuk duduk di atas bekas tandas dan berdiri dengan mudah
     • Keupayaannya untuk memberitahu anda bahawa dia hendak membuang air

Melatih anak anda menggunakan bekas tandas terlalu awal, hanya akan membuatkan proses itu menjadi lebih lama. Kajian menunjukkan bahawa ramai kanak-kanak yang mula menjalani latihan menggunakan bekas tandas sebelum berusia 18 bulan masih belum terlatih sepenuhnya selepas berusia empat tahun, manakala mereka yang bermula pada umur lebih kurang dua tahun berjaya menjadi benar-benar terlatih sebelum hari lahirnya yang ketiga.

Cara untuk Bermula

Untuk memulakan latihan menggunakan tandas, pilih bekas tandas atau sisipan tempat duduk tandas. Sesetengah kanak-kanak suka memiliki bekas tandas najis mereka sendiri, manakala yang lain memilih untuk menggunakan mangkuk tandas ""dewasa"" dengan sisipan tempat duduk.

Apabila anda rasa anak kecil anda sudah bersedia, terangkan bahawa jika tidak menggunakan lampin, mereka perlu menggunakan bekas tandas najis. Oleh sebab banyak lampin pakai buang direka untuk menghalang si kecil daripada merasa basah, anda mungkin ingin mendapatkan lampin khas untuk latihan yang mempunyai  ""lapisan basah"" yang membolehkan si kecil merasa basah. Tetapi sila perhatikan tanda-tanda ruam lampin.

Bertukar daripada Lampin kepada Seluar Dalam

Berikut ialah beberapa tanda bahawa anak kecil anda mungkin sudah bersedia untuk cuba memakai seluar dalam:

     • Dia mula cuba menanggalkan seluar dan lampinnya tanpa bantuan anda
     • Dia tahu bila hendak membuang air kecil atau besar (walaupun memakai lampin) dan dia akan memberitahu anda
     • Dia melihat anda atau ahli keluarga yang lain menggunakan tandas
     • Dia duduk di atas bekas tandas atau mangkuk tandas dan cuba menggunakannya, contohnya, sebelum mandi pada waktu malam

Setelah mempunyai beberapa bukti bahawa anak kecil anda tahu apa yang perlu dilakukannya selepas berhenti menggunakan lampin, anda boleh cuba ke langkah seterusnya, iaitu memakai seluar dalam. Anda boleh jadikan perkara ini satu peristiwa yang istimewa dengan menyuruhnya memilih sendiri seluar dalam baharu dan menjelaskan kepadanya bahawa dia kini akan memakai seluar dalam ""orang besar"".

Menjadikannya Rutin

Anda perlu bertanya kepada anak kecil anda sama ada dia ingin menggunakan bekas tandas najis dari semasa ke semasa. Jangan dudukkan dia di atas mangkuk tandas melainkan jika dia berkata ya; jika tidak, dia sukar mengetahui waktu dia perlu ke tandas. Puji usaha dan kejayaannya. Tetapi jika dia gagal, misalnya terkencing di dalam seluar, ingatkannya dengan lemah lembut bahawa itulah sebabnya dia perlu pergi ke tandas, tukar pakaiannya dan jangan memarahinya. Jika anda bertindak balas secara negatif, itu akan membuatkannya berasa geram dan kurang bersemangat untuk mencuba lagi.

Latihan Menggunakan Tandas Semasa dalam Perjalanan

Melatih anak menggunakan tandas semasa dalam perjalanan,memang sangat mencabar, tetapi ia tidak mustahil. Minta anak kecil anda pergi tandas sebelum meninggalkan rumah, dan cari tandas sebaik sahaja anda sampai ke destinasi. Cuba kekalkan tabiat kebersihan yang baik walaupun semasa dalam perjalanan dengan membawa pembersih lembut seperti JOHNSON’S® baby regular bath. Untuk perjalanan yang jauh dan anda tidak pasti di mana tandas yang terdekat, anda mungkin ingin memakaikan lampin untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Akhir sekali, kami ingin mengingatkan anda bahawa setiap kanak-kanak berkembang pada kadar yang berbeza. Kunci kejayaannya ialah kesabaran anda. Jika anda tidak tergesa-gesa untuk melatih anak anda dan membiarkannya berlatih mengikut rentaknya sendiri, anak kecil anda akan belajar bahawa mempelajari kemahiran baharu itu merupakan sesuatu yang menyeronokkan dan memperkasakan diri, dan itu merupakan satu pelajaran hidup yang sangat bermakna.

Menukar Lampin Bayi Anda

Panduan melakukan sesuatu yang asing tetapi akan menjadi ritual harian untuk ibu baharu.

Logo Baby Center

Pada mulanya, si manja anda mungkin menghadapi masalah untuk menahan pundi kencing sepanjang malam. Lawati BabyCenter® untuk mempelajari perkara yang perlu anda lakukan untuk membantu si kecil mengelakkan kencing malam.

Back to Top